Friday, December 18, 2009

Menempah Bilik Di Neraka Jahanam....

Menurut majalah MANAR ISLAM, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh
dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke
destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang
terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.

Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan
bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya. Gadis itu
dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban
menegurnya. "Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik,
yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik
daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar
kaum lelaki...." nasihat orang tua itu. Namun, nasihat yang sangat bertetapan
dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan
mengejek. "Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci
syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal
berada di syurga atau neraka?" Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat
menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak
cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada
orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. "Ambil hanphone
ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka
jahannam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui
bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis.
Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-
penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan.
Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak
menghormati hukum-hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir
dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi. Sepuluh minit kemudian
bas pun tiba perhentian.

Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas.
Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis
tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si
gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali
menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi
cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu,
tiba-tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera
berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka
terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya.
Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba
mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan
hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.

Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah
kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah
hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah,
sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita
jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati.
Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah
RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.

Kata-kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia
hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah
kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.
Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan
terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan
kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang
yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin.
Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan
arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah,
dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan
anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda.
Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin
takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila anda berpijak di bumi ini,
anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang
menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya
adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi
ini. Sama-samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di
atas jalan yang benar dan kekuatan agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.
*Dipetik dari majalah Iskandariah Mesir 'MANAR ISLAM'

sumber : iluvislam.com

No comments:

Post a Comment